Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w.

Mueeza.. Kucing Kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.

Posted on 02/05/2012. Filed under: Fakta Sejarah, Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w. | Label: |

 

Tahukah Anda bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri memiliki kucing peliharaan. Kucing Nabi Muhammad bernama Mueeza.

Setiap Nabi menerima tamu di rumah, baginda selalu mengendong Mueeza dan ditaruh di atas pahanya. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi sukai ialah: Mueeza selalu mengeong ketika mendengar adzan, seolah-olah ngiaunya seperti mengikuti lantunan suara adzan.

Nabi berpesan untuk menyayangi kucing peliharaan layaknya menyanyangi keluarga sendiri.

Pernah suatu kali Nabi hendak mengambil jubahnya, ternyata Muezza sedang tidur di atasnya.. Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya supaya tidak membangunkan Muezza.

Ketika Nabi pulang ke rumah, Muezza terbangun dan merunduk kepada majikannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengelus lembut ke badan kucing itu. Nabi menekankan bahwa kucing itu tidak najis.Bahkan diperbolehkan untuk berwudhu menggunakan air bekas minum kucing karena dianggap suci.

Abu Qatadah berkata bahwa Nabi SAW pernah bersabda, “Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang rumahan),” [HR At-Tirmidzi, An-Nasa'i, Abu Dawud, dan Ibnu Majah].

Diriwayatkan dan Ali bin Al-Hasan, dan Anas yang menceritakan bahawa Nabi Salallahu ‘alaihi wasallam pergi ke Bathhan suatu daerah di Madinah.Lalu, beliau berkata, “Ya Anas, tuangkan air wudhu untukku ke dalam bejana.”Lalu, Anas menuangkan air. Ketika sudah selesai, Nabi menuju bejana.

Namun, seekor kucing datang dan menjilat bejana (bekas minum). Melihat itu, Nabi berhenti sampai kucing tersebut berhenti minum lalu berwudhu.

Nabi ditanya mengenai kejadian tersebut, beliau menjawab, “Ya Anas, kucing termasuk perhiasan rumah rumah tangga, ia tidak dikotori sesuatu, bahkan tidak ada najis.”

Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa budaknya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun, ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu, ia memberikan isyarat untuk menaruhnya.

Sayangnya, setelah Aisyah menyelesaikan shalat, ia lupa pada buburnya. Datanglah seekor kucing, lalu memakan sedikit bubur tersebut.Ketika ia melihat bubur tersebut dimakan kucing, ‘Aisyah ra. lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing, dan Aisyah memakannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling.” Aisyah pernah melihat Rasulullah Saw berwudhu dari sisa jilatan kucing, [Hadis Riwayat AlBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni].

Hadis ini diriwayatkan dari Malik, Ahmad, dan imam hadis yang lain. Oleh karena itu, kucing adalah binatang, yang badan, keringat, bekas dari sisa makanannya suci.

Erm, demikian kisah tentang kucing Nabi Muhammad SAW Mueeza. Semoga dengan menghayati kisah di atas, kita akan ketahui betapa kasih sayangnya Rasulullah terhadap haiwan.

Sekian

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Walau Matahari Di Tangan Kanan …!

Posted on 12/08/2010. Filed under: Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w. |

Keadaan di kota Mekah bertambah cemas dan tegang. Pertentangan Quraisy terhadap Nabi s.a.w. dan pengikut-pengikutnya semakin hebat. Golongan Muslimin yang turut bertambah tidak mundur sedikit pun dengan pendirian mereka.

Bapa saudara Nabi s.a.w. iaitu Abu Thalib, merupakan satu-satu pembela Nabi s.a.w. dan telah  beberapa kali berjaya melindungi Nabi daripada perbuatan kasar dan keji kaum Quraisy walaupun beliau sendiri belum beriman. Beliau terus membela Nabi apatah lagi pengaruhnya sangat besar di Kota Mekah.

Suatu hari, beberapa orang ternama Quraisy datang menemui Abu Thalib dengan diiringi Abu Jahal, Abu Sufyan dan beberapa orang lagi.

“Wahai Abu Thalib! Anak saudaramu telah mencerca tuhan kami dan merendahkan agama serta memperbodohkan fikiran kami. Muhammad mengatakan nenek moyang kami sesat. Kerana itu kami harap engkau dapat menghentikan tindakannya atau engkau biarkan kami bertindak ke atasnya. Engkau dan kami bersama dalam kelainan pendapat dengan Muhammad, maka kami kira sudah cukup engkau sahaja menghadapinya.” Demikian kata mereka kepada Abu Thalib.

Dengan tenang dan lembut Abu Thalib menjawab saranan mereka itu sehingga mereka pulang dengan harapan dan mengirakan Muhammad sudah tentu akan menghentikan gerakannya.

Tetapi harapan mereka hampa kerana Nabi s.a.w. dan teman-teman baginda masih meneruskan dakwah mengembangkan Islam, menyatakan yang hak dan menolak yang bathil.

Maka bertambah-tambahlah kemarahan kaum Quraisy. Mereka terasa dipermain-mainkan dan kerana itu sekali lagi mereka menemui Abu Thalib. Pertemuan kali ini penuh dengan kata-kata ancaman.

“Wahai Abu Thalib! Usia engkau bertambah lanjut, kebesaran dan kedudukan engkau tinggi. Kami sudah meminta engkau berbuat sesuatu menghentikan Muhammad dari perbuatannya. Tetapi engkau tidak melakukannya.”

“Demi Allah, kami tidak boleh bersabar lagi melihat nenek moyang kami dicaci. Pendapat kami dipandang rendah dan tuhan kami dicela. Engkau hendaklah segera bertindak ke atas Muhammad. Kami juga akan bertindak ke atas engkau sampai salah satu di antara kita hancur.”

Setelah menyampaikan ancaman itu, mereka pun berlalu. Mereka menunggu apakah tindakan yang akan dilakukan Abu Thalib ke atas anak saudaranya itu  atau apakah ia akan terus membiarkan Muhammad berdakwah.

Sementara itu Abu Thalib menyuruh orang memanggil Nabi s.a.w. dan menyampaikan pendirian Quraisy yang mengancam itu. Beliau memahami keberatan mereka dan pada masa yang sama beliau mengasihi Muhammad. Keadaan menjadi serba salah baginya tetapi ia mesti dihadapi.

“Muhammad, kaum engkau telah mendatangi aku,” kata Abu Thalib memulakan bicara dengan Nabi s.a.w.

Lalu beliau katakana kepada Muhammad kata-kata mereka yang bersifat mengancam itu.

“Jangan engkau berati aku untuk memikul beban yang aku tidak sedia menyanggupinya,” demikian kata terakhir dari Abu Thalib.

Mendengarkan kata-kata Abu Thalib ini, Nabi s.a.w. pun mengira tentunya Abu Thalib sudah memihak kepada Quraisy. Sudah lemah dan tidak lagi membela Nabi s.a.w. Namun Baginda tidak akan berganjak sebagai Rasul Allah.

“Wahai bapa sudaraku! Demi Allah sekiranya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikan tugas agama ini walau Allah memenangkannya atau aku sendiri hancur, namun aku tidak akan meninggalkan tugas ini,” demikian Nabi menjawab keluhan bapa saudaranya Abu Thalib dengan rasa sedihnya.

Kemudian Nabi s.a.w. keluar meninggalkan bapa saudaranya dengan menitiskan air mata dengan penuh keharuan. Abu Thalib juga melihatkan kesedihan dan suasana yang sangat terharu sehingga beliau memanggil kembali Nabi s.a.w.

“Ke marilah, wahai Muhammad!” demikian kata Abu Thalib.

Baginda datang semula mendekati Abu Thalib.

“Wahai anak saudaraku!. Pergilah, katakanlah apa yang engkau suka, demi Allah aku tidak akan membiarkan engkau diganggu selama-lamanya.” Demikian Abu Thalib mengatakan isi hatinya.

Setelah itu Nabi s.a.w. pun meninggalkan bapa saudara Baginda dan meneruskan tugasnya sebagai Rasul sesuai dengan kata-kata tegas yang Baginda ucapkan kepada Abu Thalib tadi. Bertambah lagi ketabahannya setelah Baginda mendengar jaminan dari bapa saudaranya itu sebagai pembela yang kuat di tengah-tengah masyarakat Quraisy.

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

Mengalahkan Jaguh Gusti Arab

Posted on 30/01/2010. Filed under: Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w. |

Rukanah satu nama yang amat terkenal di Kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Hampir tidak ada seorang pun yang tidak mengenalinya, seorang yang perkasa dan jarang ada orang yang berani menentangnya. Rukanah adalah seorang jaguh gusti yang ulung. Oleh kerana itu beliau berasa bangga dengan kekuatannya, malah beliau berani mencari lawannya.

Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui akan kemashuran Rukanah itu. Kekuatan dan keangkuhannya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dalam fikiran Nabi jika Rukanah ini dapat diajak memeluk Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah Rasulullah s.a.w. Pada suatu ketika datanglah kesempatan Nabi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah dan Baginda berharap berhasil apa yang terlintas difikirannya itu.

Waktu itu Rukanah berada di Syi’b (jalan dekat bukit Mekah). Nabi bertemu dengannya dan mengajak beliau beradu kekuatan sebagai satu jalan mendakwahkan Rukanah.

“Wahai Rukanah!, belumkah engkau bertakwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?” demikian Nabi s.a.w. berkata kepadanya.

“Muhammad, apakah buktinya tanda di atas kebenaran agama engkau?” jawab Rukanah.

“Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau akan beriman kepada Allah dan RasulNya?” bertanya Nabi s.a.w.

Baiklah wahai Muhammad.” Rukanah menyambut pelawaan.

“Bersiaplah engkau,” perintah Nabi.

Rukanah pun menyiapkan diri dan berasa yakin akan dapat mengalahkan Rasulullah s.a.w. Ketegapan tubuh badannya boleh membanting Muhammad dalam waktu singkat sahaja dan beliau menganggap tentangan Muhammad adalah olok-olok dan main-main sahaja. Setahunya Nabi Muhammad hanya berdakwah sepanjang hari, tidak ada berlatih tenaga untuk menghadapinya.

Dalam keadaan kesombongan sebagai jaguh gusti, Rukanah bersiap sedia dalam kebiasaan beliau bergusti. Nabi s.a.w. pun segera mendekatinya dan mengambil tempat dan menunggu kesempatan untuk menghempas dan mengalahkan lawannya.

Nabi dapat memegang badan Rukanah dan dengan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut dan amat hairan kenapa Muhammad berhasil mengalahkannya sedangkan beliau mengira akan dengan mudah dapat menjatuhkan Muhammad. Sesungguhnya beliau berasa tidak berpuas hati dan meminta diulang kembali beradu tenaga.

Nabi s.a.w. dengan senang hati menyanggupinya.

Sekali lagi Baginda dapat membanting Rukanah dan mengalahkannya. Manakala Rukanah bertambah kehairanan seolah-olah beliau tidak mempunyai tenaga bertahan seperti yang sudah-sudah beliau beradu tenaga.

Diulanginya lagi dan untuk ketiga kalinya juga Rukanah tidak Berjaya dan mengakui kekalahannya.

“Sesungguhnya hairan aku dengan keadaan engkau, Muhammad!” demikian katanya kepada Nabi selepas beradu itu.

Selain Rukanah, Nabi s.a.w. juga telah Berjaya menentang seorang jaguh iaitu Abu Aswad Al-Jumahy yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah beliau tegak di atas sekeping kulit lembu dan menyuruh 10 orang cuba menarik kulit itu dari tapak kakinya. Tetapi tidak berhasil ditarik keluar dan beliau tegak berdiri bagaikan batu besar, malahan kulit itu pula yang koyak dan terpisah kerana tarikan tersebut.

Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam.

“Jika engkau dapat menjatuhkan aku, akan akan beriman kepada engkau,” demikian kata Abu Aswad kepada Nabi. Beliau sendiri yang memberikan syarat, berlainan Rukanah yang diajak Nabi untuk beriman jika kalah.

Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi s.a.w.

Nabi Berjaya menjatuhkan Aswad sehingga beliau mengalami kekalahan yang memalukan. Walaupun begitu beliau telah tidak menepati janjinya, beliau tidak jadi beriman seperti yang diperkatakan sebelum itu.

Betapa juga keadaannya, hakikatnya Nabi s.a.w. telah Berjaya menundukkan jaguh-jaguh gusti yang terkenal gagah perkasa di Mekah. Sesungguhnya tenaga luar biasa Nabi itu berasal dari iman yang kuat kepada Allah. Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan mereka masing-masing. Jaguh-jaguh gusti dihadapi Baginda bukan seperti menghadapi masyarakat dan orang-orang ternama Quraisy dengan ayat-ayat Allah. Walaupun kesannya belum mencapai seperti pengharapan Rasulullah, tetapi keberanian dan ketabahan Nabi s.a.w. menentang orang kuat Mekah menjadi perhatian umum akhirnya. Aswad yang tidak menepati janji itu bukan sahaja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi s.a.w. Berjaya meningkatkan dakwahnya.

Read Full Post | Make a Comment ( 1 so far )

Suatu Keajaiban

Posted on 14/11/2009. Filed under: Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w. |

Kota Mekah sedang diliputi malam. Malam yang pekat sehingga sukar melihat orang berjalan amat terasa akan kesunyiannya.

Sayup-sayup kedengaran pada malam itu suara Nabi s.a.w. memecah kesunyian dengan bacaan ayat-ayat Qur’an di dalam rumah Baginda. Di luar rumah baginda seolah-olah ada bayang-bayang manusia yang sedang mengintip.
Ketegangan pada masyarakat Mekah dirasai sejak Nabi keluar berdakwah di siang hari mengajak mereka kepada jalan yang benar. Tetapi tentangan kian bertambah hebat, namun Nabi berpantang undur dan ini menggugat ketenangan hati orang-orang besar dan ternama Quraisy, malahan juga sebilangan pengikut-pengikut Nabi s.a.w.
Orang-orang Qurais kini telah memikirkan satu rencana penentangan kepada Muhammad pada siang hari. Manakala orang-orang Islam menebalkan keimanan dalam hati mereka agar tidak akan lemah menghadapi tekanan-tekanan musuh Islam itu.

Pada masa itu, ketika Nabi s.a.w. membaca Al Qur’an, di luar rumah Baginda terdapat tiga bayangan manusia iaitu orang-orang ternama Quraisy yang datang dari arah yang berlainan. Masing-masing memikirkan Baginda bersendirian tanpa ada siapa yang melihat. Sebenarnya mereka ingin mengetahui apakah yang dikerjakan oleh Nabi s.a.w. di tengah malam itu. Ketiga-tiga mereka ialah Abu Jahal, Sufyan bin Harb dan Akhnas bin Syarik.

Suara Nabi Muhammad s.a.w. yang berkumandang membaca ayat Al-Qur’an itu telah mempersonakan mereka, meresap enusuk mempengaruhi jiwa masing-masing tanpa disedari telah menitiskan air mata, terlupa dirinya sebagai tokoh musyrik yang selalu menentang Muhammad. Setelah mereka tersedar dari personaan itu, barulah disedari air mata yang mengalir membasahi pipi. Namun antara mereka bertiga masih tidak menyedari bahawa mereka tidak berseorangan, hanya kepekatan malam yang gelap itu yang memisahkan mereka bertiga. Setelah mengusap air mata, mereka pun berlalu ke arah datangnya dahulu dengan senyap-senyap agar tidak ada orang lain tahu.
Tanpa diduga, mereka bertiga bertemu, tidak seorang pun membuka bicara, mungkin kerana takut didengari orang lain. Tetapi di dalam hati masing-masing sudah meneka akan apa yang telah dilakukan kawannya.

“Engkau mendengar ayat-ayat Qur’an yang dibaca Muhammad ketika bersolat sepanjang malam sampai terbit fajar?”

“Bukankah itu yang berlaku?” demikian Abu Jahal bertanya.

“Benar, aku kira engkau juga demikian,” jawab Sufyan bin Harb.

Abu jahal tidak menjawab, diam, tetapi wajahnya segera berubah kerana kata-kata Akhnas.
“Kita membohongi diri sendiri dan menyalahi akal. Sesungguhnya, ayat-ayat yang kita sama-sama dengar dari Muhammad itu memang indah sekali. Aku terpesona oleh isinya,” Demikian kata Akhnas.

Melihat Abu Jahal yang berubah air mukanya, Akhnas tidak berkata-kata lagi khuatir akan menyebabkan ketegangan.
Akhirnya masing-masing mencela sikap yang lain kerana mahu mendengar Muhammad membaca Al-Qur’an. Bagaimana nanti jika masyarakat Mekah mengetahui perbuatan mereka? Sudah tentu mereka akan diejekkan dan dihinalah martabat mereka di mata umum. Siang hari mencela Muhammad tetapi malam hari mendengar bacaan Muhammad.

“Jangan diulangi lagi perbuatan ini, kelak boleh menimbulkan pandangan yang salah.” Demikian mereka bertiga berjanji. Mereka pun berpisah.

Bila malam menjelang lagi, ketiga-tiga kenamaan Quraisy itu tanpa mengingati janji yang telah dibuat mereka malam sebelumnya, telah keluar menuju ke rumah Nabi s.a.w. Satu sama lain mengirakan hanya dia sahaja yang melakukan, yang lain tidak. Tetapi alangkah terkejutnya mereka ketika dalam perjalanan pulang, mereka bertemu lagi di jalan. Bacaan Muhammad yang pertama kali mereka mendengar telah menarik hati mereka untuk mendengarnya lagi. Maka mereka sekali lagi mengutuk satu sama lain di atas perbuatannya dan mereka bertiga berjanji lagi tidak akan membuat pengintipan itu dan melanggar janji.

Apabila malam menjelang lagi, Abu Jahal, Sufyan dan Akhnas seolah-olah tidak mahu tahu bahawa ada janji-janji yang patut dipatuhi. Dengan kehendak Allah, pada malam yang ketiga ini setelah mendengar bacaan Nabi s.a.w., mereka bertemu lagi. Dalam perjumpaan kali ini mereka berjanji sesungguhnya tidak akan mengulanginya bagi megelakkan dari sampai diketahui oleh masyarakat mereka.

Pada kali ini mereka benar-benar mematuhi perjanjian itu. Pada satu hari Akhnas  dengan bertongkat berjalan menuju ke rumah Abu Sufyan kerana hasrat hatinya untuk mendapatkan pendapat dan rasa hati masing-masing setelah mendengar ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh Muhammad.

Read Full Post | Make a Comment ( 1 so far )

Penghargaan Pada Anak Yang Budiman

Posted on 23/08/2009. Filed under: Kisah Ringkas Rasulullah s.a.w. |

Di zaman Nabi s.a.w. terdapat seorang ketua Quraisy yang bernama Hussein. Beliau sangat dihormati oleh kaumnya dan dianggap pembela bangsa dan kepercayaan mereka. Hussein mempunyai seorang anak bernama Imran.

Imran telah menganuti Islam dan sering berada di majlis-majlis Rasulullah mendengarkan ajaran-ajaran Nabi tentang iman dan Islam. Imran sering kelihatan gelisah bila beliau berseorang diri kerana teringatkan bapanya yang masih musyrik.

Pada suatu hari, satu kumpulan kaum Quraisy telah datang ke rumah Hussein. Kedatangan mereka tidak diketahui oleh Imran. Maka berlakulah soal jawab:

Quraisy: “Wahai Hussein, kami datang kerana suatu hal yang amat penting.

Hussein: “Hussein hanya mengabdikan diri pada Quraisy yang dipercayainya.”

Quraisy: “Inilah yang kami harapkan selama engkau pembela Quraisy.”

Hussein: “Katakanlah apa yang kamu mahu dariku.”

Quraisy: “Engkau tentu tahu tentang Muhammad, dakwahnya berjaya menambahkan pengikutnya setiap hari, berkembang dan bertambah kuat. Mereka bersatu dan bertolong-tolongan. Keadaan ini membahayakan kepercayaan dan tuhan kita. Muhammad selalu mencela tuhan kita, membodoh-bodohkan kita. Dikatakan kita menyembah pada yang tidak boleh mendengar dan tidak berakal (berhala).”

Hussein: “Benar, aku faham semua itu.”

Quraisy: “Ini mesti ada penyelesaiannya, tidak boleh kita terus menerus berdiam diri sahaja.”

Hussein: “Apa maksud kamu. Hendak disakiti diakah? Jika ini yang dikehendaki sesungguhnya kita membuat sesuatu yang buruk saja. Sedikit pun tidak ada kesannya menahan arus yang ajaib itu.”

Quraisy: “Bukanlah begitu yang kami mahu. Rancangan kami lain iaitu kami inginkan engkau dapat berunding dengan Muhammad. Dengan cara baik dan lembut, engkau menegah dia dari terus menghina tuhan kita.”

Hussein: “Tetapi, apakah aku harus pergi seorang diri?”

Quraisy: “Tidak, kita pergi bersama, hanya kami tunggu di luar dan engkau masuk menemui Muhammad.”

Dengan itu mengertilah Hussein maksud utusan kaum Quraisy itu. Beliau akan menemui Muhammad dan tidak akan cemas terhadap pengikut Nabi, apatah lagi anaknya Imran dihormati di dalm golongan mereka.

Sampai ketikanya bertemulah Hussein dengan Nabi s.a.w. dan pertemuan itu mengejutkan dan berasa hairan pada Imran. Perlu apa bapanya menemui Rasulullah? Kenapa berani benar bapanya? Begitulah agaknya persoalan bermain di dalam hati Imran.

Sediakan tempat duduk bagi orang tua ini,” Nabi s.a.w. mengarahkan kepada sahabat-sahabatnya. Imran melihat air muka Nabi berseri-seri.

Hussein pun duduk, beliau kelihatan gembira disambut dengan baik. Pada mulanya beliau tidak menyangka akan diberi kehormatan dengan penuh kemesraan.

“Kami sudah mengetahui bahawa engkau sering mencela tuhan kami, ” berkata Hussein kepada Nabi.

Nabi s.a.w. diam dan tidak segera menjawab. Baginda berkeadaan tenang. Semua yang ada di situ memperhatikan kejadian itu.

“Berapa orangkah tuhan yang kamu sembah?” Nabi bertanya.

Tujuh orang di atas bumi ini, seorang lagi di langit,” demikian jawapan Hussein. Semua yang hadir bersungguh-sungguh mendengar percakapan mereka.

Nabi bertanya lagi.

“Bila kamu ditimpa kesusahan (musibah) siapakah yang kamu harapkan menolong kamu?”

“Tuhan yang di langit,” jawab Hussein.

“Bila harta bendamu rosak binasa, kepada siapa engkau meminta pertolongan?” tanya Nabi lagi.

“Kepada tuhan yang di langit,” jawab Hussein lagi.

“Kepadanya seorang kamu meminta pertolongan, akan tetapi kamu sekutukan dia dengan yang ada di bumi,” kata Nabi.

Hussein kelihatan resah, kehabisan kata, bimbang dan melihat itu Nabi s.a.w. dengan segera berkata lagi.

“Masuklah agama Islam wahai Hussein! Nescaya kamu akan berbahagia.”

Kata-kata Nabi yang terakhir itu telah menyejukkan hatinya dan dengan sepenuh hati beliau pun mengucapkan syahadat.

Suasana yang tadinya kelihatan tegang dan cemas bertukar serta-merta menjadi gembira setelah kejadian itu. Imran anak Hussein kegirangan dan mengucapkan syukur di atas hidayah Allah yang sudah lama beliau memikir-mikirkan dan mengharapkannya. Dalam suasana terharu, sebak di dada, Nabi s.a.w. pun berkata,

“Mengalir airmataku kegirangan kerana usaha Imran.” Nabi sememangnya mengetahui bahawa Imran sudah lama memikirkan nasib ayahnya itu.

“Tadi, aku melihat orang tua ini masuk, Imran tidak pun menyambutnya, diam dan tidak mengindahkannya. Tetapi sewaktu bapanya mengucapkan syahadat, Imran telah menunaikan kewajipan terhadap bapanya dan ini amat mengharukan hatiku.” demikian Nabi menyambung ucapannya.

“Wahai sahabat-sahabatku, tolong hantarkan orang tua ini pulang ke rumahnya.” Nabi menyeru kepada mereka kerana dilihatnya orang-orang Quraisy masih menunggu di luar.

Setelah orang-orang Quraisy melihat Hussein berubah tingkah laku, barulah mereka tahu Hussein kini telah memeluk Islam dan mereka lalu mengutuknya.

Hussein terus pulang ke rumahnya dengan diiring oleh sahabat-sahabat Nabi. Berbahagialah beliau dan anaknya.

Seorang anak yang mendalam keimanan di hati sanubarinya memang sering mengharapkan keinsafan bapanya. Beliau tidak mudah terpengaruh dengan kedudukan kekuasaan bapanya, walau betapa pun dihormati kaum Quraisy, namun bapanya tetap seorang musyrik. Beliau dan Nabi amat gembira sekali melihatkan hidayah Allah memasuki kalbu Hussein. Memang anak yang terdidik cara Islam selalu mengharapkan orang tuanya turut berbahagia. Bimbingan Nabi s.a.w. sungguh baik dan berkesan terhdap Imran, anak seorang ternama Hussein itu.

Read Full Post | Make a Comment ( None so far )

« Entri-entri Sebelumnya

Liked it here?
Why not try sites on the blogroll...

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.